Cahaya Islam

Walau Kegelapan Menyelubungi Dunia... Cahaya Illahi Tidak Akan Sirna

18 Jan 2014

Makna Keberkatan Dalam Hidup

Rezeki adalah ketentuan Allah s.w.t. Untuk menambah keberkatannya hendaklah membiasakan diri dengan sifat pemurah dan tidak bakhil untuk bersedekah kepada orang lain kerana hal ini akan memberikan ketenangan kepada diri malah akan lebih disayangi oleh masyarakat kerana sesungguhnya, harta yang kita miliki terdapat hak-hak orang lain di dalamnya yang wajib kita tunaikan. Kekayaan yang sejati adalah kekayaan iman yang tercermin dari kesederhanaan hidupnya dan kesederhanaan itu tercermin dari sifatnya yang qanaah.

Kita sering mendengar berita orang kaya rezekinya melimpah ruah tetapi hidup keluarganya porak peranda, anak-anaknya menjadi penjenayah dan penceraian berlaku di antara suami istari. Ini menunjukkan tidak ada keberkatan rezeki yang mereka perolehi ada sesuatu yang tidak kena maka berlakulah keadaan seperti ini.

Kita juga mendengar suatu keluarga yang pendapatannya kecil menanggung anak-anak yang ramai tetapi anak-anaknya menjadi insan yan berakhlak mulia dan berjaya di dalam kerjaya dan kehidupan. Ini menunjukkan ada keberkatan rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. 

Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Allah telah berfirman, “telah berfirman Allah kepada malaikat pembahagi (pengedar) rezeki kepada bani Adam: mana satu hamba-Ku yang kamu temui menujukan harapannya kepada Aku semata, maka jaminkanlah rezekinya langit dan bumi. Dan mana satu hamba-Ku yang kamu temui sedang mencari rezekinya, sesungguhnya dia sedang menuntut keadilan, maka lorongkanlah jalan-jalannya tetapi jika dia menuntut selain dari itu, maka biarkanlah antara mereka dengan apa yang mereka tuntut itu, kelak mereka tidak akan memperolehi lebih daripada apa yang telah Aku tentukan untuk mereka itu.”
 (Hadis riwayat Abu Naim)

Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaanpun, kerana kasih sayang Allah itu mendahului Kemurkaan-Nya. Dan pastikan sumber rezeki yang kita perolehi dari sumber yang halal dan tidak meninggalkan suruhan Allah s.w.t semasa mencari rezeki, rezeki yang diperolehi akan diberkati dan hidup kita akan sentiasa mendapat rahmat Allah s.w.t.

Keempat : Keberkatan hidup berjemaah.

Hidup kita di dunia ini tidak boleh berseorangan kita perlu kepada berjemaah. Hidup berjemaah akan membawa keberkatan sedangkan hidup tanpa jemaah akan membawa kepada kehancuran. 

Daripada Huzaifah r.a berkata : “Orang-orang Islam yang lain bertanya Rasulullah s.a.w tentang kebaikan dan saya bertanya Rasulullah tentang kejahatan, kerana saya bimbang (takut) saya terjatuh kedalam kejahatan, lalu saya berkata kepada Rasulullah s.a.w, :“Ya Rasulullah , kami sesungguhnya berada di dalam keadaan jahiliah dan kejahatan, tetapi Allah hantarkan kebaikan, apakah ada selepas kebaikan ini kejahatan?”

Rasulullah s.a.w menjawab : “Ya ada”

Kemudian saya bertanya lagi, “Apakah selepas kejahatan ini ada kebaikan?”

Rasulullah s.a.w menjawab “Ya ada, tetapi di dalamnya ada dakhan”

Kemudian saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w “Apakah dakhan itu?”

Rasulullah s.a.w menjawab “Yang di maksudkan dakhan itu adalah suatu kaum yang mengambil suatu peraturan lain dari Sunnahku dan mengambil Petunjuk lain dari Petunjukku, kamu kenal mereka maka hendaklah kamu tolak mereka.”

Saya bertanya lagi : Adakah selepas itu (kebaikan), ada lagi kejahatan?”

Rasulullah s.a.w menjawab : “Ya ada, iaitu pendakwah (penyeru) yang berada di tepi jurang neraka, siapa yang menyahut seruan mereka akan di campakkan kedalam neraka”

Saya bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah perintahmu jika saya sampai pada masa itu (iaitu masa penyeru-penyeru yang menyeru di tepi jurang neraka)?”

Rasulullah s.a.w menjawab : “ Hendaklah kamu duduk bersama-sama Jemaah Muslimin dan ikut imam mereka”
(Hadis Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud) 

Hidup kita akan mendapat keberkatan jika kita duduk di dalam jemaah. Rasulullah dan sahabat-sahabat baginda hidup bersama jemaah Islam yang dibentuk oleh baginda. Di dalam jemaah inilah berlakunya proses tarbiyah imaniah berjalan hingga melahirkan satu generasi umat Islam yang paling baik dalam sejarah manusia. Hasil dari jemaah ini melahirkan Daulah Islamiyah yang mendaulatkan hukum-hukum Allah s.w.t.Berjemaah membawa berkat dan perpecahan membawa azab.

Kelima : Keberkatan pada ilmu.

Ilmu yang bermanfaat secara mutlak di dunia dan akhirat adalah ilmu syar’i (ilmu Islam). ilmu yang pengamalnya yang diikhtiraf oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. , ilmu ini adalah seperti yang diungkapkan oleh Imam Asy-Syatiby di dalam kitab Al Muwafaqot, “Ilmu yang muktabar menurut syara’ adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal, yang tidak membiarkan pemiliknya  mengikuti hawa nafsunya bagaimanapun ia, bahkan ia mengikat pengikutnya dengan ilmu tersebut, yang membawa pemiliknya mematuhi aturan-aturannya suka atau tidak suka”.

Mengenai ilmu pengetahuannya yang bermanfaat kepada orang lain. Dengan kata lain, segala ilmu yang dapat memberikan manfaat kepada orang lain dan dapat menambahkan ketakwaan mereka kepada Allah s.w.t. Maka selama ilmu itu masih dipelajari, selama itulah orang yang mengajarkannya pada peringkat permulaan itu akan mendapat pahala yang berterusan yang akan dimasukkan ke dalam catitan amalan kebajikannya. Antara lain, seperti apabila seseorang yang mengarang kitab untuk rujukan orang lain, maka selagi kitabnya dapat memberikan manfaat kepada orang lain, maka Allah akan mengurniakan ganjaran dan pahala yang berterusan kepada pengarang kitab tersebut.

Ilmu yang berkat adalah ilmu yang difahami, dilaksanakan dan disampaikan pada orang lain. Ilmu yang berkat juga akan mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita muhasabah balik pada diri kita kenapakah sering kita mengalami kerisauan, jiwa sentiasa tidak tenang dan tekanan hidup yang semakin meningkat. Jika kita kaji pasti kita akan dapat jawapannya iaitu tidak wujud keberkatan dalam hidup kita. Iaitu tidak ada keberkatan pada umur, hidup berkeluarga, rezeki , berjemaah dan pada ilmu. Oleh itu perlulah kita kembali kepada Allah s.w.t dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya insya Allah rahmat dan keberkatan daripada Allah s..w.t akan kita perolehi.

0 comments:

Post a Comment