Cahaya Islam

Walau Kegelapan Menyelubungi Dunia... Cahaya Illahi Tidak Akan Sirna

18 Jan 2014

 Kuliah Tafsir Maudhuiyy Siri Ke-67:-Mewaspadai Tipu-Daya Musuh-Musuh Dakwah:-Memahami Pesan-Pesan Ilahi

Ayat-ayat (Surah Al-Isra:73-77) memang pada zahirnya ditujukan khusus kepada Rasulullah s.`a.w., tetapi mesej sebenarnya adalah umum dan inklusif. Ia adalah peringatan kepada seluruh para da`i sepanjang zaman agar sentiasa mewaspadai tipu-daya musuh-musuh dakwah yang seringkali memakai strategi kompromi.

Mereka mengajak damai lewat formula saling mengakomodasi dengan agenda tersembunyi agar akhirnya Islam, agama wahyu ini menggugurkan sebahagian daripada ajaran yang diwahyukan Allah dan menerima faham asing yang tidak bersumberkan wahyu.

Dengan demikian akan terciptalah “Islam” versi lain, iaitu “Islam” selera kaum musyrikin, kafirin dan `ilmaniyyin (sekularis). Sekali imbas mungkin tawaran mereka tampak menarik dan menggoda, menjanjikan pelbagai keuntungan materi duniawi, sedang yang diminta dari para pejuang Islam hanya “small concession”. Tetapi di situlah letak jebakannya, apa yang disebut “small co
ncession” itu mungkin merosakkan seluruh ajaran Ilahi, apa lagi jika ia melibatkan soal `aqidah. 

Dalam kes al-Rasul s.`a.w., Junjungan diminta memberikan “small concession” iaitu “hormatilah tuhan-tuhan sembahan mereka (berhala-berhala)” dengan imbalan “besar” - kekayaan dan kekuasaan. Andainya Rasulullah menerima tawaran kompromi sedemikian, seperti yang disebut pada ayat 73 (…la ‘ttakhadhuka khalila) tentunya mereka akan menyambut meriah dan mengalu-alukan penyertaan Rasulullah s.`a.w. ke dalam inner circle mereka sebagai sahabat dan kerabat akrab.

Justeru mereka sebenarnya tidak membenci Muhammad s.`a.w. sebagai peribadi. Junjungan memang dikenal sebagai orang baik, berakhlak terpuji dan diterima umum. Yang mereka musuhi adalah agama (ajaran) yang dibawanya, yang mereka tidak senangi adalah penolakannya terhadap tuhan-tuhan dan agama warisan nenek-moyang mereka. Mereka tidak keberatan untuk bersahabat dan menjalin hubungan erat dengan Rasulullah s.`a.w. asalkan Junjungan bersedia untuk berkompromi.

Tarikan untuk menerima kompromi memang cukup kuat kerana desakan yang bersungguh-sungguh dari pihak musyrikin Quraysh, dan keinginan yang kuat di pihak Rasulullah s.`a.w. untuk mengislamkan pembesar-pembesar Quraysh itu. Kalaulah tidak kerana suntikan kekuatan istimewa dari Allah s.w.t. bukan tidak mungkin Junjungan s.`a.w. melunak (sedikit) terhadap mereka.

Peringatan agar mewaspadai jebakan kompromi sedemikian disampaikan juga lewat ayat-ayat lain dalam surah al-Qalam. Dalam ayat 8 dan 9 surah tersebut Tuhan mengingatkan, “Maka janganlah engkau patuhi orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah). Mereka menginginkan agar engkau bersikap lunak maka mereka bersikap lunak (pula).”

Yang pertama harus dingat ialah hakikat bahawa mereka adalah manusia pendusta (al-mukadhdhibin) yang tidak menghormati kebenaran dan tidak mempedulikan fakta. Mereka bukan jenis manusia yang memperhitungkan soal salah atau benar.

Kerana itu mereka begitu mudah mengajak kompromi. Mereka berfikir bahawa kompromi `aqidah adalah jalan pintas yang pintar ke arah making the best of both worlds, tanpa memperhitungkan hakikat bahawa Islam dan jahiliah adalah dua dunia yang tidak ada titik temunya. Jurang antara keduanya terlalu lebar untuk dijambatani dengan sebuah formula rapuh - kompromi Islam-jahiliah.

Ketika menafsirkan ayat al-Qalam tersebut Sayyid Qutb mengatakan bahawa sebenarnya mereka bukanlah ashabu `aqidah atau penganut suatu `aqidah yang mengimaninya dengan yakin sebagai kebenaran. Pada zahirnya mereka seperti bermati-matian mempertahankan agama mereka dan memusuhi Rasulullah s.`a.w. dengan segala cara penderaan dan fitnah, tetapi pada hakikatnya mereka begitu goyah dalam beraqidah (jahiliah), hanya pura-pura bersikap sebagai penganut tegar, semata-mata kerana kesombongan tidak mahu tunduk dan tidak mahu menyerah kepada Muhammad s.`a.w.

Kerana itu mereka bersedia untuk berkompromi asalkan ada formula face saving dalam pengertian air muka mereka terpelihara, mereka melunak kerana pihak lawan (Muhammad s.`a.w.) telah melunak. Bagi umat ber`aqidah yang mengimaninya sebagai al-haqq (kebenaran), soal `aqidah tidak boleh diselesaikan dengan formula bisnes: menjual dan membeli. Dalam `aqidah tidak ada soal kecil-besar, yang ada hanya kesatuan dan kesepaduan yang utuh, tidak boleh dipecah-pecahkan, dikurangi atau ditambahi. `Aqidah harus dikemukakan seadanya dan seutuhnya - take it or leave it.

Tidak ada ruang kemungkinan mengekalkan sebahagian, dan menggugurkan sebahagian yang lain. Demikianlah ketegasan sebagaimana yang diperlihatkan oleh al-Rasul s.`a.w. dalam soal agama, walhal Junjungan adalah manusia paling lunak, paling lembut dan paling bertolak-ansur dalam segala urusan kehidupan sosial hariannya.

Tetapi dalam urusan agama, Junjungan begitu tegar menjunjung perintah “Maka janganlah engkau patuhi orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah).” Senang atau susah, perintah tersebut tetap dipatuhi, meskipun dalam situasi yang sangat tertekan oleh penderaan kejam kaum Quraysh. Apa pun risikonya kebenaran tetap diucapkan di hadapan siapa sahaja, termasuk kepala-kepala teroris Musyrikin.

Demikianlah pola fikir musuh-musuh dakwah yang selalu memperlakukan agama seperti bisnes: tawar-menawar, memberi dan menerima untuk meraih keuntungan bersama. 

0 comments:

Post a Comment